Showing posts with label Guru. Show all posts
Showing posts with label Guru. Show all posts

Thursday, 4 October 2012

Hari Terakhir Sukan dan Rekreasi

Pada hari keempat iaitu hari terakhir di Pangkor ni, kami bersiap-siap dan mengemas barang-barang kami. Pembersihan tapak perkhemahan juga dilakukan untuk pulang ke IPG Kampus Darulaman. Semua kumpulan khemah dikehendaki menurunkan khemah masing-masing dan memastikan tapak perkhemahan bersih. 

Seterusnya, kami dikehendaki untuk berkumpul dengan beg masing-masing pada pukul 9.30 pagi untuk menyemak bilangan khemah dan memastikan tiada barangan yang tertinggal. Kami juga membuat tagging pada setiap beg bagi memudahkan urusan ketika naik ke feri nanti.


Selepas itu, kami diberikan peluang untuk mengambil gambar bersama dengan para pensyarah. 




Kemudian, kami bertolak menaiki teksi secara berkumpulan. Kami tiba di Jeti Pulau Pangkor pada pukul 10.30 pagi dan tiba di Jeti Lumut pada pukul 11.00 pagi. Kami diberi kebebasan untuk berjalan-jalan di sekitar Jeti Lumut sementara menunggu ketibaan bas.


Kami bertolak pulang ke IPG Kampus Darulaman pada pukul 1.00 petang dan selamat tiba di sana pada pukul 6.00 petang.

Saya berasa gembira dan lega setelah menyertai Program Perkhemahan Sukan dan Rekreasi 2012 walaupun badan berasa sangat letih. Saya berasa lega hati dan gembira kerana program ini telah dijalankan dengan lancar dan banyak ilmu dan pengalaman baru yang berharga telah diperolehi melalui program sukan dan rekreasi ini.

Walaupun ini merupakan kali pertama saya ditugaskan untuk menjawat jawatan bendahari, tetapi atas bantuan dan kerjasama dengan ahli kumpulan saya dan juga para peserta lain, kewajipan ini telah dipikul dan dilaksanakan dengan lancar dan tidak menimbulkan masalah. Dengan pengalaman ini, saya lebih memahami tentang tugas bendahari dan berkeyakinan diri akan melaksanakan kewajipan ini dengan lebih baik lagi pada masa akan datang jika diberi peluang.

Sebagai kesimpulannya, Program Perkhemahan Sukan dan Rekreasi 2012 telah melatihkan diri semua bakal guru untuk menjadi guru yang bertanggungjawab, bekerjasama, bermoral dan berhemah tinggi. Saya berasa bersyurkur kerana berpeluang melaksanakan dan mengikuti program ini bersama rakan-rakan dan pensyarah dengan lancar dan berjaya.
Alhamdulillah :)


Wednesday, 3 October 2012

Hari Ketiga Sukan dan Rekreasi

Pada hari ketiga, 5hb September 2012, dimulakan dengan acara menaikkan bendera Malaysia dan bendera IPG Kampus Darulaman. Kemudian diteruskan dengan senaman pagi dan semakan bilangan ahli kumpulan oleh Kem Komander. Selepas bersarapan pagi, semua peserta membuat persiapan untuk menjalankan aktiviti kembara Pulau Pangkor. Taklimat pendek telah disampaikan oleh AJK aktiviti dan setiap kumpulan diberikan tugasan yang berbeza.

Tempat pertama yang dilawati ialah Kilang Satay Hai Seng Hin, destinasi kedua ialah Tokong Foo Ling Kong dan seterusnya ialah Kota Belanda dan Batu Bersurat. Aktiviti Kembara Pulau ini sangat menarik kerana mendedahkan saya kepada beberapa tempat pelancongan menarik. Saya paling terkesan ketika melawat Kilang Satay Hai Seng Hin kerana tidak menyangka keadaan kilang sebegitu teruk. Kilang itu kelihatannya kurang menitikberatkan soal kebersihan dan menyebabkan saya hilang selera untuk membeli makanan laut kering di situ.












Pada sebelah petang, kami diberi masa untuk melakukan persediaan untuk “Malam Kebudayaan”. Aktiviti sukaneka terpaksa dibatalkan kerana hujan turun dengan lebat pada petang itu. Kumpulan saya mengambil peluang itu untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk persembahan pada malam nanti. Kumpulan saya telah memilih untuk melakukan lakonan beserta nyanyian. Hal ini secara tidak langsung merapatkan hubungan kami dalam satu kumpulan.





Makan malam hari ini paling istimewa kerana kami dapat menjamu makanan laut yang di-BBQ. Pelbagai jenis makanan laut disediakan seperti ketam, ikan pari, sotong, ikan, ayam dan juga nasi goreng. Pada malam ini juga diadakan satu majlis kejutan meraikan hari lahir dua orang peserta yang lahir pada 5hb September dan 6hb September. Para pensyarah menyediakan satu kek untuk meraikan hari yang bermakna ini.


Selepas makan malam, kami berkumpul di dewan untuk mempersembahkan persembahan kami. Semua kumpulan telah melakukan satu persembahan yang menarik dan saya sangat terhibur pada malam ini. Kumpulan Merah memenangi sebagai kumpulan persembahan terbaik diikuti oleh kumpulan Hijau, Kuning dan akhir sekali Biru. Walaupun kumpulan saya kalah, tetapi kami tidak menganggapnya satu tekanan malahan kami menjadikannya satu pengalaman yang manis buat kami semua.

Kemudian, setiap wakil dari setiap kumpulan membentangkan refleksi yang didapati sepanjang aktiviti Kembara Pulau pada siang hari. Pertukaran Kem Komander juga telah dilaksanakan dengan perlantikan Kem Komander yang baru.

Aktiviti pada hari ini ditamatkan dengan permulaan kawalan malam yang dikendalikan oleh AJK keselamatan. Secara keseluruhan, aktiviti pada hari ini berjalan dengan sempurna kecuali aktiviti sukaneka pantai yang terpaksa dibatalkan atas sebab hujan lebat.
**will be continue.. hihi ;)


Hari Kedua Sukan dan Rekreasi

Pada hari kedua, 4hb September 2012, aktiviti dimulakan dengan acara menaikkan bendera Malaysia dan bendera IPG Kampus Darulaman. Kemudian diteruskan dengan senaman pagi dan semakan bilangan ahli kumpulan oleh Kem Komander pada pukul 7.00 pagi. Pada pukul 7.30 pagi, kami menikmati sarapan pagi bersama para pensyarah.

Seterusnya, tepat jam 8.00 pagi, kami dibahagikan kepada dua kumpulan untuk menjalankan aktiviti. Kumpulan pertama menjalani aktiviti kayak dahulu manakala kumpulan kedua menjalani aktiviti Water Confident. Aktiviti Water Confident dilaksanakan untuk memberi keyakinan kepada kami semasa berada di dalam air.





Kemudian, kedua-dua kumpulan ini bertukar aktiviti. Sebelum melakukan aktiviti berkayak, satu taklimat pendek berkaitan dengan kemahiran berkayak telah disampaikan oleh Encik Mansur. Kami sering diingatkan tentang keselamatan untuk mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

Kami dibahagikan berpasang-pasangan untuk satu kayak. Kami diberi peluang untuk berkayak di kawasan yang ditetapkan dan mengaplikasikan kemahiran yang diajar.




Walaupun penat, saya sangat gembira kerana saya dan pasangan saya dapat bekerjasama dengan baik ketika berkayak. Syukurlah kepada Allah kerana tidak berlaku sebarang kemalangan ketika aktiviti ini dijalankan. Kedua aktiviti ini berakhir pada pukul 1.00 petang untuk menguruskan diri dan makan tengah hari.

Pada sebelah petang, kami berkumpul tepat jam 2.00 petang untuk mengikuti aktiviti snorkelling. Kami bertolak menaiki bot ke Coral Island. Tempat tersebut sangat indah dengan air laut yang masih jernih dan tidak tercemar.



Kami diajar untuk menggunakan topeng dan cara untuk bernafas dengannya melalui mulut. Saya sangat teruja melihat ikan-ikan yang berwarna-warni mengelilingi saya. Saya tidak ketinggalan untuk mencuba memberi makanan roti kepada ikan-ikan tersebut.

Satu pengalaman berharga yang sukar dilupakan! :D



Kami semua bergembira ketika menjalani aktiviti ini. Kami pulang semula ke tapak perkhemahan pada pukul 4.30 petang dan menjalankan aktiviti di pantai iaitu permainan bola tampar dan permainan bola sepak. Selepas itu, kami diberi masa untuk membersihkan diri dan minum petang.

Makan malam bermula pada jam 8.00 malam dan bersambung dengan taklimat daripada para pensyarah. Kami juga melakukan refleksi ringkas mengenai aktiviti yang dijalankan sepanjang hari ini. Pertukaran Kem Komander juga telah dilaksanakan dengan perlantikan Kem Komander yang baru.

Malang tidak berbau, tanpa kami sedari hujan lebat telah turun lalu mengakibatkan beberapa khemah dimasuki air. Saya bernasib baik kerana khemah dan barang-barang saya selamat daripada basah dek kerana hujan. Justeru, ahli khemah yang dimasuki air dibenarkan untuk tidur di dewan. Kami juga membantu mereka untuk mengangkat barang ke dewan. Aktiviti pada hari ini ditamatkan dengan permulaan kawalan malam yang dikendalikan oleh AJK keselamatan. Saya bertugas untuk mengawal pada pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi. Walaupun penat disebabkan aktiviti yang berat pada hari ini, saya tetap melaksanakan tugasan dengan baik.

Secara keseluruhannya, hari kedua juga berjalan dengan lancar dan cuaca begitu baik ketika menjalani aktiviti berkayak dan snorkelling. Walaupun hujan yang lebat pada malam hari, aktiviti-aktiviti yang telah kami rancang tetap diteruskan.
**will be continue.. hihi ;)


Tuesday, 2 October 2012

Sukan dan Rekreasi di Pangkor :D

Ketika saya di semester 3, program persediaan perguruan (PPISMP), saya berkesempatan mengikuti satu program "Amali Luar Bilik Darjah PJ3311P Sukan dan Rekreasi" pada 3 hingga 6 September 2012 yang bertempat di Pulau Pangkor. Disebabkan lepas kami balik dari Pangkor ni kena buat laporan dan refleksi, so, saya nak repost balik lah refleksi yang dikarang dengan penuh kesungguhan sebab nak dihantar pada pensyarah. (tu yang panjang gler & ayat skema abes) hewhew :p

Ikuti laporan dari saya.. *jeng jeng ;)
Kasut sukan air yg umi belikan waktu melancong di Langkawi. 
*kiut miut kan? jgn jeles. hewhew



Pada 3hb September baru-baru ni, kami semua berkumpul di hadapan Bangunan Gerko IPG Kampus Darulaman pada pukul 7.30 pagi dan berada dalam kumpulan masing-masing iaitu kumpulan Biru, Merah, Kuning dan Hijau. Saya berada dalam Kumpulan Biru yang dianggotai oleh pelbagai kaum seperti Melayu dan Cina daripada ketiga-tiga kelas. Kami mendaftar dan diberi taklimat oleh pensyarah pembimbing sebelum bertolak. Pada masa ini, buku program bagi Program Sukan dan Rekreasi 2012 serta tag nama telah diagihkan kepada semua peserta.

Selepas itu, pemilihan Kem Komander telah dilaksanakan dan seorang peserta telah dilantik sebagai Kem Komander yang pertama. Tugasnya adalah untuk menjaga kebajikan semua peserta dan ketua untuk memantau segala aktiviti yang kami jalankan adalah selamat dan lancar. Kami bertolak dengan menaiki dua buah bas pada pukul 8.30 pagi dan tiba di Jeti Lumut pada pukul 2.00 petang. 

Terminal Jeti Lumut

Selepas itu, kami menaiki feri pada pukul 3.30 petang dengan tambang hanya RM10 pergi balik. Murah kan? ;) 



Kami tiba di Jeti Pulau Pangkor kira-kira setengah jam selepas itu. Kemudian, kami dibahagikan kepada 10 orang dalam satu kumpulan untuk menaiki teksi ke Pangkor Village Beach Resort.



Setibanya di sana, kami dikehendaki berkumpul di tapak perkhemahan mengikut kumpulan khemah masing-masing untuk memulakan pembinaan khemah. Saya sangat teruja melihat tapak perkhemahan kami begitu hampir dengan pantai kerana saya amat menyukai suasana di pantai.




Seterusnya, kami minum petang dan diberi masa untuk membuat pengurusan diri dan menunaikan solat Jamak dan Qasar – Maghrib dan Isyak. Setelah selesai dan makan makan, kami berkumpul di Dewan Pangkor Village Beach Resort untuk taklimat dan tayangan gambar dan refleksi sepanjang hari ini oleh AJK dokumentasi.

Seterusnya, kami diberikan taklimat mengenai aktiviti yang akan berlangsung pada keesokan hari oleh pensyarah dan AJK aktiviti. Aktiviti pada hari ini ditamatkan dengan permulaan kawalan malam. Secara keseluruhannya, hari pertama berjalan dengan lancar kerana kebanyakkan aktiviti mengikuti tentatif program yang dirancangkan.

**will be continue.. hihi ;)